KERUTUK AYAM ... Lauk berbuka puasa sunat Hari Arafah

Bismillahirrohmanirrohim
Assalamualaikum dan Salam Aidil Adha semua ..

Posting untuk hari ini adalah menu semalam KERUTUK AYAM ... Lauk berbuka puasa sunat Hari Arafah

Hari Arafah adalah hari ke-9 dalam bulan Dzulhijjah dan merupakan hari ke-2 dalam ritual ibadah haji. Hari Arafah merupakan hari yang istimewa kerana pada hari itu Allah SWT membanggakan hamba-Nya yang berkumpul di Arafah kepada para malaikat.

Puasa sunat pada Hari Arafah atau juga dikenali Hari Wukuf boleh dilakukan oleh umat Islam khususnya bagi mereka yang tidak melakukan ibadah haji yang mana ia hari ini merupakan kemuncak ibadah haji. 

Alhamdulillah saya selamat menunaikan puasa sunat ini.

Untuk berbuka saya sediakan KERUTUK AYAM dan sedikit sayur kubis.

Bahan A
1/2 ekor ayam (dipotong kepada ketulan sederhana besar)
1/2 kotak santan pekat (kotak kecil)
1 camca besar kerisik
1 keping asam gelugor
1 batang serai (diketuk)
1/2 keping gula 'gerek'
sedikit garam

Bahan B
1/3 cawan minyak masak
1 biji bawang besar
1 inci halia
3 biji buah pelaga
2 kuntum bunga lawang
4 kuntum bunga cengkih
1 batang kulit kayu manis

Bahan C (di blend halus)
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan D (dicampur dan dijadikan pes)
2 camca besar cili serbuk
1 peket kecil rempah kerutuk (saya guna jenama 'Adabi')
sedikit air

Cara-Cara Menyediakan nya
1. Panaskan minyak dalam periuk dan tumis bahan B sehingga berbau harum.
2. Masukkan bahan C dan dimasak sehingga hampir garing. Ini adalah untuk memastikan bawang masak dengan sempurna.
3. Masukkan bahan D, kerisik, asam gelugor, serai dan gula 'gerek'. Teruskan memasak sehingga terbit minyak yang bergedangan.
4. Apabila kuah telah menjadi pekat, masukkan ayam dan ratakan dengan rempah. Tutup periuk dan perlahankan api supaya rempah berpalut dengan air yang keluar dari ayam. Biarkan selama 5-10 minit.
5. Masukkan santan dan perasakan dengan garam.
6. Biarkan sehingga ayam masak dengan sempurna dan kuah mendidih semula.

* Selamat Menjamu Selera ...


No comments:

Powered by Blogger.